Kantoi Jual Aksesori Kenderaan Tiruan Di Kuching, Barangan Bernilai RM442,977 Berjaya Dirampas
Kantoi Jual Aksesori Kenderaan Tiruan, Premis Di Kuching Ini Diserbu. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak terus menjalankan operasi penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti penjualan barangan tiruan yang boleh menjejaskan hak pemilik cap dagang.
Dalam satu serbuan ke atas sebuah premis penjualan aksesori kenderaan di sekitar Kuching pada Isnin lalu, anggota penguatkuasa KPDNHEP Sarawak dengan kerjasama wakil pemegang cap dagang telah menjalankan Operasi Bersama Wakil Cap Dagang.
Kantoi Jual Aksesori Kenderaan Tiruan, Premis Di Kuching Ini Diserbu
Menerusi operasi itu, pihak penguatkuasa berjaya merampas barangan aksesori kenderaan dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM442,977.00 yang disyaki tiruan.
Siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 102(1)(C) Akta Cap Dagang 2019 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM200,000 bagi individu atau denda maksimum RM1 juta bagi syarikat serta penjara maksimum 5 tahun jika sabit kesalahan.
Ketua Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP Sarawak, Encik Ismail Matrani berkata, pihaknya sentiasa memantau aktiviti penjualan barangan tiruan di seluruh negeri demi menjaga kepentingan pengguna dan pemilik cap dagang yang sah.
“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengaut keuntungan daripada penjualan barangan tiruan. Operasi seperti ini akan terus dijalankan dari semasa ke semasa,” tegasnya.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak membeli barangan tiruan dan membuat aduan sekiranya mengesyaki sesuatu premis menjual barangan tiruan melalui saluran aduan rasmi KPDNHEP.
Sebarang aduan dan pertanyaan boleh disalurkan melalui e-aduan di laman web e-aduan.kpdnhep.gov.my, Talian Hotline di 1-800-886-800, atau Whatsapp di 019-2794317 atau 019-8488000.