Tak pakai pelitup muka, duduk dekat-dekat.
Kes Meningkat Di Kuching, Para Pekerja Dedah Sikap Rakyat Dan Premis Makin Tak Endah SOP. Peningkatan kes di Sarawak tentunya mengundang kebimbangan dalam kalangan rakyat terutamanya sekali di Bahagian Kuching.
Baru sahaja beberapa hari menikmati status negeri hijau, Sarawak digemparkan semula dengan pengesanan 7 kluster baru yang kini sedang aktif. Lebih menakutkan, kebanyakan kes setakat ini diklasifikasikan sebagai penularan tempatan dan tidak bergejala.
Ini bermakna sesiapa sahaja di sekitar anda berpotensi dijangkiti pandemik yang membawa maut ini.
Rakyat ambil ringan SOP
Namun, segelintir rakyat dikatakan memandang ringan akan hal ini dan tidak mematuhi SOP seperti yang telah ditetapkan apabila berada di luar. Kejadian seperti ini banyak berlaku di kawasan bandar utama di Sarawak seperti Kuching dan Sibu.
Luahan pekerja tentang sikap rakyat ketika di premis perniagaan
Menerusi tinjauan di bahagian komen Facebook kami, terdapat beberapa luahan daripada pekerja serta orang awam yang khuatir dengan sikap rakyat serta premis perniagaan yang semakin tidak mengendahkan SOP.
Seperti tangkap layar yang pertama ini, staf biasa seolah-olah tidak berhak untuk menegur pelanggan yang jelas tidak mematuhi SOP yang ditetapkan. Tambahnya, pelanggan jelas melanggar SOP seperti duduk melebihi kapasiti.
Kat mana lagi kalau tidak di restoran, kan?
“Pengalaman bekerja di restoran, pelanggan duduk melebihi kapasiti yang ditetapkan tetaoi mereka tidak mahu mematuhi SOP. Kita pula yang dimarahinya. Hanya KKM, polis atau askar sahaja yang boleh menegur mereka, pekerja seperti kami seolah-olah tidak boleh menegur mereka. Kecewa dengan sikap orang kita. Bila ditegur tentang perkara yang betul, terus melenting,”
Netizen 1
“Ulang perkara sama dah macam pita rosak, saya penat” – Netizen
Luahan ini pula dibuat oleh seorang individu yang bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan atau pekerja customer service. Jelasnya, perkara yang sama telah diulang banyak kali terhadap pelanggan. Bukan itu sahaja, notis turut ditampal di premis namun ada segelintir yang tidak mengendahkan peringatan tersebut.
Malah, ada yang berpura-pura masuk ke dalam kedai dan tidak memakai pelitup muka.
“Kalau masih berdegil tidak ikut SOP, jangan bising jika tiada lagi hiburan atau mencari rezeki. Jangan salahkan kerajaan pula. Salahkan diri anda sendiri yang tidak mendengar kata. Saya sebagai customer service telah melalui semua ini. Berbuih mulut saya seperti pita rosak yang mengulangi perkara yang sama. Saya penat.
Bukannya tidak diletakkan notis. Ada yang buat-buat tidak tahu, rilek sahaja masuk ke kedai tanpa pakai pelitup muka. Kaau anda tidak sayang nyawa anda, tidak mengapa. Jangan menyusahkan orang lain yang benar-benar menjaga diri tetapi akhirnya terkena jangkitan. Ada anak kecil lagi. Mak bapak pun memerlukan kami. Jadi, jangan pentingkan diri sendiri,”
Netizen 2
“Duduk diam-diam di rumah kalau tak mahu ikut SOP”
Sikap menjengkelkan rakyat semasa PKPP ini juga berlaku di lapangan terbang. Pelanggan dikatakan tidak menulis nama dan mengimbas namun apabila ditegur, para pekerja pula yang akan dimarahi atau dimaki.
Jangan menyusahkan orang, duduk di rumah jika tidak mahu mengikuti SOP.
“Memang pun. Dalam lapangan terbang pun sama macam itu juga. Terang-terang jika masuk ke kedai harus menulis nama dan mengimbas tetapi mereka bebal sangat tak mahu ikut SOP. Nanti apa-apa hal, bukan mereka yang sibuk tetapi kami juga. Bila ditegur, kami pula yang dimarahinya kembali. Jangan menyusahkan orang. Jika tak mahu ikut SOP, duduk diam-diam di rumah saja,”
Netizen 3
Luahan lain juga sempat dilayangkan oleh beberapa individu tentang betapa rakyat kini leka seolah-olah pandemik sudah berakhir dan hidup tanpa mengamalkan norma baharu.
Nampaknya rakyat semakin lupa apa itu penjarakan sosial.
Kepada anda di luar sana, tolong patuhi SOP dan pakai pelitup muka apabila berada di tempat awam. Elakkan juga berada di kawasan sesak, dan tertutup. Paling penting, jangan lupa jaga jarak selamat dan sentiasa cuci muka atau mandi setelah pulang ke rumah.
Jika individu lain telah menegur anda, hormatilah mereka dan laksanakan kewajipan anda sebagai rakyat yang baik dan bertanggungjawab.
Kawalan semula PKP beri kesan kepada semua perkara
Jangan biarkan angka jangkitan meningkat semula dan mengharapkan autoriti kuatkuasakan PKP semula. Efeknya bukan hanya pada perniagaan, tetapi kepada seluruh ekosistem dunia.
Jangan pandai claim sahaja sebagai negeri ‘terpaling’ harmoni dan baik tetapi hakikatnya umpama mengata dulang paku serpih.