Kerana malu dengan ibu, disumpah menjadi batu
Lagenda Pulau Supirak, Sumpahan Ibu Kepada Anak Yang Merasa Malu Padanya. Mungkin kita pernah terdengar cerita rakyat nusantara terkenal iaitu Si Tanggang, di mana dia disumpah menjadi batu kerana dia malu dengan ibunya yang miskin setelah mengahwini seorang puteri dan menjadi kaya.
Jalan cerita ini juga mempunyai persamaan dengan Lagenda Pulau Supirak, yang merupakan sebuah pulau di Pitas, Sabah.

Kredit gambar: Sabah Tourim Board
Seorang ibu membesarkan anaknya sendiri
Kisah ini bermula dengan sepasang suami isteri yang tinggal di Kampung Kougun. Kampung tersebut terletak di tepi laut jadi mata pencarian utama mereka adalah sebagai nelayan.

Gambar sekadar illustrasi
Pada suatu hari, si suami keluar ke laut tetapi tidak kembali. Si isteri, iaitu Supirak, tetap sabar menunggu suami di persisiran laut. Pada masa itu, Supirak sudah mengandung tetapi dia bersabar menunggu ketibaan suaminya.
Hari demi hari lalu berganti bulan, Supirak akhirnya beranak dan terpaksa menerima kenyataan bahawa dia akan membesarkan anaknya sendiri.
Bayi itu dinamakan Ragam dan dibesarkan oleh ibunya. Ragam membesar menjadi seorang pemuda yang rajin dan sentiasa mendahulukan ibunya di dalam apa sahaja perbuatannya.
Mereka berdua hidup dalam serba kekurangan, dengan hanya sebuah pondok buruk sebagai tempat berteduh dari panas mentari dan hujan. Ragam kemudian membina sebuah rumah yang sederhana di Torong Puteh.
Atas sebab fobia dengan dunia lautan kerana mempercayai bahawa suaminya ditelan air laut, Supirak tidak membenarkan Ragam menjadi nelayan.

Gambar sekadar illustrasi
Kagum dengan bahtera, ingin menjadi anak kapal
Patuh dengan permintaan ibunya, Ragam hanya bekerja kampung sahaja seperti membina rumah, mencari kayu api, dan sebagainya. Namun, Ragam tetap berharap dapat meneroka dunia lautan seperti ayahnya dan hanya dapat menyimpan niat itu di dalam hatinya agar tidak menyinggung perasaan ibunya.
Pada suatu hari, sebuah bahtera besar datang berlabuh di Torong Puteh untuk mengisi bekalan bagi pelayaran seterusnya. Ragam seperti biasa mengayuh perahunya ke bahtera itu untuk menjual apa sahaja barangan uang mampu dijual. Pada waktu itu, Ragam kagum dengan bahtera besar itu lalu tercetus niat untuk memohon pekerjaan sebagai anak kapal di bahtera terbabit.

Gambar sekadar illustrasi
Minta kebenaran ibu, akhirnya ibu membenarkan
Setelah selesai dengan kerja, Ragam pulang ke rumah tetapi selalu termenung di tangga rumahnya yang menghadap laut.
Menyedari anak tunggalnya berkelakuan lain, Supirak bertanya kepada Ragam tetapi Ragam enggan menjawab perkara sebenar.
Akhirnya, Ragam meluahkan niatnya iaitu memohon kebenaran ibunya untuk membenarkan dia bekerja sebagai anak kapal. Supirak membantah permintaan anaknya tetapi atas sebab kasih sayang ibu kepada anak, Supirak akhirnya membenarkan Ragam bekerja jauh dan meninggalkan dirinya seorang diri di Torong Puteh.
Pada keesokan harinya, Ragam pergi ke bahtera besar tersebut untuk memohon kerja sebagai anak kapal. Dia mengagumi nakhoda bahtera dengan kepetahan dia berbicara dan dengan itu diberi pekerjaan sebagai anak kapal.
Apabila sudah tibanya waktu untuk bahtera terbabit berangkat, Supirak menghantar Ragam dengan berperahu ke bahtera itu. Ragam berjanji kepada ibunya bahawa dia akan pulang suatu hari nanti dan membawa kekayaan untuk ibunya agar tidak lagi melalui kesusahan hidup.
Dengan itu, Ragam mencabut sehelai rambutnya untuk disimpan Supirak lalu bertolak lah bahtera tersebut. Supirak hanya mampu melihat bahtera berlayar semakin jauh di lautan dengan air mata jatuh ke pipi.

Gambar sekadar illustrasi
Dari anak kapal ke nakhoda kapal, sehingga suami puteri
Sepanjang pelayaran, Ragam menunjukkan sifat kerajinannya serta dedikasi sehingga dia dijadikan orang harapan kepada nakhoda bahtera itu. Malah, apabila nakhoda itu bersara, Ragam diangkat untuk mengambilalih tugasnya sebagai nakhoda dan digelar ‘Nakhoda Ragam’.
Pada suatu hari, bahtera Nakhoda Ragam berlabuh di sebuah pulau yang bernama Pulau Intan untuk berniaga. Di sini, dia terpikat dengan seorang gadis cantik iaitu Dayang Dundunai. Dia juga merupakan seorang puteri kepada pemerintah Pulau Intan.
Lama-kelamaan, Nakhoda Ragam memberanikan diri untuk bertandang ke istana Bahkiah bagi menjumpai ayahanda Dayang. Ayahanda Dayang Dundunai kagum dengan sifat Nakhoda Ragam yang beradat lalu menerima pinangannya dan sebuah majlis perkahwinan diadakan dengan penuh meriah.

Gambar sekadar illustrasi
Belayar ke Torong Puteh untuk berjumpa dengan keluarga
Suami isteri baharu itu menetap di Pulau Intan tetapi akhirnya Nakhoda Ragam meminta kebenaran ayahanda mertuanya untuk membawa Dayang Dundunai belayar dan berjumpa dengan keluarganya di Torong Puteh.
Setelah dibenarkan, mereka mula belayar ke Torong Puteh dan akhirnya tiba di kampung halaman Nakhoda Ragam.
Ketibaan bahtera itu serta berita mengenai seorang anak Torong Puteh menjadi seorang nakhoda yang kaya akhirnya sampai ke telinga Supirak, ibu kepada Nakhoda Ragam.
Dengan bangganya serta bahagia kerana dapat menemui anak tunggalnya, Supirak berdayung menuju ke bahtera Nakhoda Ragam. Apabila dia berada dekat di bahtera itu, Supirak memohon keizinan daripada anak kapal untuk membenarkan dia naik menemui anaknya iaitu Nakhoda Ragam.
Oleh kerana rupanya kelihatan miskin beserta dengan baju yang koyak rabak, Supirak tidak dibenarkan berbuat demikan. Maka bergaduh lah mereka.
Mendengar kekecohan itu menyebabkan Nakhoda Ragam melihat apa yang berlaku. Setelah melihat punca kekecohan dan menyedari bahawa wanita tua itu dan penampilannya yang miskin adalah ibunya, Nakhoda Ragam sendiri menghina ibu kandungnya kerana dia malu mengakui bahawa Supirak adalah ibunya kepada anak kapal dan isterinya yang berstatus puteri.

Gambar sekadar illustrasi
Kecewa dengan perbuatan anaknya, Supirak menyumpah seluruh bahtera dan isinya menjadi batu
Kerana dimalukan dan dihalau, Supirak kembali ke pondok uzurnya. Penuh dengan perasaan kecewa dan kesal atas perbuatan anak kandungnya sendiri dan tidak sangka bahawa anak kesayangannya malu mengakuinya sebagai ibu kerana kelihatan miskin, Supirak menyumpah seluruh bahtera dan isinya menjadi batu.
Susulan sumpahan itu diucap, air laut yang tenang bertukar bergelora, cuaca yang redup berubah menjadi gelap dan hujan lebat jatuh ke bumi. Bahtera Nakhoda Ragam terombang ambing dipukul laut bergelora.
Dalam keadaan yang cemas, Nakhoda Ragam akhirnya sedar bahawa dia telah membuat satu dosa yang sangat besar ke atas ibu kandungnya. Namun, ia sudah terlambat kerana hati ibunya pun sudah amat terluka.
Akhirnya, seluruh bahtera dan isinya termasuk Nakhoda Ragam bertukar menjadi batu. Ia kemudian dinamakan Pulau Supirak oleh masyarakat tempatan di Pitas, Sabah.
Sejauh mana legenda ini betul atau tidak, ia adalah terpulang kepada diri-sendiri untuk mempercayainya. Namun, nilai yang boleh diambil dari lagenda ini adalah jangan sesekali lupa daratan apabila sudah hidup senang. Sentiasa ingat mereka, terutamanya ibu bapa anda, yang menyokong impian anda untuk menjadi seorang yang berjaya.
