Siap ada kumang Barbie!
Kenali Wesley Hilton, Pramugara Yang Pernah Tular Buat Patung Barbie Versi Borneo. Siapa yang tidak mengenali Barbie, sebuah jenama patung legend keluaran syarikat pengeluar mainan Mattel yang dihasilkan dalam pelbagai versi.
Dari versi berambut blonde hinggalah ke versi Barbie orang berkulit hitam, Barbie tetap menawan dan cantik bagi peminatnya. Malah, patung ini begitu popular sehingga diadaptasikan menjadi animasi pelbagai siri. ‘I’m a Barbie girl, in a Barbie world,”
Namun, lelaki ini tampil kreatif apabila mencipta busana etnik Borneo untuk dipakaikan kepada patung Barbie dan pasangannya, Ken.
Malah, pasti anda tidak percaya betapa terperincinya busana etnik yang menghiasi tubuh patung tersebut. Memang mengagumkan!
Barbie Borneo hasil sentuhan kreatif Wesley Hilton
Wesley anak Juntan atau lebih dikenali dengan nama Wesley Hilton, menjadikan busana Barbie buatan sendiri ini sebagai hobi sepanjang berlangsung nya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Patung Barbie custom-made nya yang paling mendapat perhatian ialah Borneo Barbie Dolls kerana rupanya yang begitu dekat di hati rakyat Malaysia terutamanya rakyat di Sabah dan Sarawak.
Beliau yang bekerja sebagai pramugara sepenuh masa di syarikat penerbangan Malaysia Airlines ini mengakui lebih fokus dengan hobi tersebut sejak PKP kerana beliau hanya tinggal di rumah dan tidak menaiki sebarang penerbangan sehinggalah penghujung bulan Julai.
Wesley yang berasal dari Sibu itu telah mengubah suai patung Barbie sejak tahun 2017. Tahukah anda bahawa patung Barbie pertama yang dihasilkan oleh Weley ialah patung Barbie pramugari Malaysia Airlines? Sudah tentu patung tersebut memakai busana batik ikonik syarikat penerbangan tersebut!
Inspirasi dari budaya etnik di Borneo
Menurut Wesley, beliau sangat meminati budaya di Borneo, apatah lagi beliau merupakan seorang yang berbangsa Iban. Bukan itu sahaja, beliau begitu kagum dan bangga dengan kecantikan serta ketelitian busana setiap etnik di Borneo.
Inspirasi daripada busana etnik yang pelbagai ini akhirnya diterjemahkan melalui cara kreatif nya sendiri iaitu mencipta patung Barbie versi Borneo.
Tambah Wesley lagi, beliau berhasrat untuk mendidik generasi muda mengenali kebudayaan etnik-etnik yang ada di Borneo.
Ilham guna patung adalah cadangan dari rakan
Kerja keras terhadap penghasilan patung Barbie Borneo ini pula tercetus hasil cadangan seorang rakannya yang berpendapat bahawa patung merupakan contoh terbaik untuk mendidik generasi muda tentang budaya dan kepentingan memeliharanya.
Sudah tentu, dengan pembuatan yang kemas dan teliti seperti ini, penghasilan patung Barbie Borneo ini bukan tugasan yang mudah.
Satu patung ambil masa 2 hingga 3 hari, perlu banyak jenis barang
Bagi menyiapkan sebuah patung dengan busana khas nya, ia mengambil masa selama 2 hingga 3 hari. Cabarannya adalah menghasilkan aksesori busana memandangkan saiz patung yang kecil.
Beliau memerlukan pelbagai jenis barang seperti perkakas, bahan menjahit, manik, cat, dan segala jenis peralatan seni dan kraf.
Walau pun begitu, bahagian yang paling sukar ialah memikirkan cara serta bahan yang sesuai bagi menyamai busana tradisional tetapi dalam saiz kecil Barbie. Bersyukur dikurniakan dengan penglihatan yang tajam, beliau menggunakan sepenuhnya anugerah itu bagi menghasilkan kostum setepat yang mungkin.
Patung Barbie Borneo laku keras, terjual habis kurang dari 24 jam
Terjual kurang daripada 24 jam, beliau turut menerima tempahan dan permintaan yang lebih banyak sejurus selepas jualan laku keras.
Patung Barbie Kumang atau Iban Barbie adalah patung yang paling popular dan merupakan kegemaran beliau. Hiasan kepala yang dikenali sebagai Sugu Tinggi juga dikatakan sangat memukau dan cantik jika dilihat secara bersemuka.
Menggunakan patung Barbie tulen dari Mattel, patung hasil sentuhan Wesley ini dijual pada harga sekitar RM 350 hingga RM 650.
Jika anda berminat, terdapat 12 jenis patung Barbie versi Borneo yang boleh anda pilih. Semuanya cantik-cantik belaka!
Anda boleh melayari laman Instagram Wesley, @wesleyhilton untuk tempahan patung Barbie comel ini.