Terkandas Selama Dua Bulan
Rakyat Sarawak Terkandas Di Nigeria Merayu Perhatian Dari Kerajaan. Terkini, seorang warga Malaysia bernama Malcolm Goh memuatnaik sebuah status merayu kepada kerajaan Malaysia untuk membantu mereka mendapatkan penerbangan balik ke tanah air.
Difahamkan beliau antara 30 warga Malaysia lain yang masih belum kembali ke tanah air semenjak penutupan lapangan terbang Lagos.
Beliau juga berkata mereka sanggup membayar tiket penerbangan pulang ke Malaysia sekiranya sebuah penerbangan sewa khas disediakan. Hal ini kerana semua penerbangan dibatalkan akibat penutupan lapangan terbang Lagos. Betapa terdesaknya rasa sehingga sanggup membayar demi kembali ke tanah air.

Rasa Sedih Kerana Warganegara Lain Telah Pulang Ke Negara Masing-Masing Tetapi Mereka Masih Terkandas
Malcolm mula bekerja di Nigeria sejak awal bulan Februari yang lalu manakala ada juga antara mereka telah bekerja disana sejak bulan Disember lepas. Ujarnya lagi, kesemua 30 warganegara Malaysia sudah pun mendaftar diri di Kedutaan Malaysia Nigeria, Abuja dan sudah dimaklumkan bahawa pengambilan rakyat Malaysia untuk balik ke negara akan dirancangkan.
Namun, selama 2 bulan tiada satu pun rancangan berhasil dan turut menyebabkan beliau untuk menggunakan platform media sosial bagi mengambil perhatian khususnya dari kerajaan Malaysia.
Beliau berkata lagi mereka sudah melihat warganegara lain seperti dari China, Egypt, UK, Brazil dan India telah pun diterbangkan kembali ke negara masing-masing dan juga warganegara Malaysia yang terkandas di negara lain.
Walau bagaimanapun, nasib mereka di Nigeria tidak seberapa bagus kerana mereka telah menunggu selama dua bulan tetapi tiada inisiatif dilakukan untuk menerbangkan mereka kembali ke tanah air.
“Jika warganegara Malaysia lain boleh pulang, rasanya kami pun dapat,” tambah beliau lagi.
Sanggup Membayar Tiket Penerbangan
Terdesak hendak kembali ke Malaysia, beliau berkata mereka yang terkandas sanggup membayar tiket penerbangan yang lebih mahal tetapi berpatutan.
Harapan beliau adalah Wisma Putra mengutamakan pengambilan warga Malaysia di Nigeria kerana bilangan kes di Nigeria dalam masa dua bulan sudah cecah lebih daripada 10,000 kes dan tidak tahu bila lapangan terbang akan dibuka.
“Ia sangat menyedihkan bagi kami yang berjauhan daripada keluarga semasa pandemik ini dan kami hanya mempunyai satu kemahuan iaitu untuk bersama dengan keluarga kami.”
Susulan status tersebut, beliau memuatnaik sebuah video menerangkan situasi mereka dengan lebih lajut serta meluahkan kebimbangan beliau terhadap para warga Malaysia yang senasib dengannya, dimana ada di kalangan mereka telah left group Whatsapp tanpa sebab. Tindakan ini merisaukan beliau yang tidak mengenali mereka secara peribadi kerana bimbang mereka akan membuat perkara yang tidak diingini akibat tekanan.
Beliau juga menekankan beliau tidak menyalahkan sesiapa tetapi berharap mesej daripada video tersebut akan sampai kepada pihak-pihak berkenaan agar proses pengambilan dipercepatkan.
Mendapat Perhatian Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan
Rayuan Malcom Goh berjaya mengambil perhatian Datuk Seri Dr. Sim Kui Hian dan beliau segera meminta Putrajaya agar menyediakan penerbangan bagi warga Malaysia yang terkandas ini.
Menurut Dr.Sim, perancangan telah dibuat untuk mengambil 30 warga Malaysia terbabit pada 31 Mei yang lalu namun gagal akibat Kedutaan Malaysia Nigeria belum mendapatkan kelulusan dari kerajaan Nigeria.
Setakat ini, Putrajaya dan Kedutaan Malaysia Nigeria masih menunggu keputusan dari kerajaan Nigeria untuk membenarkan penerbangan sewa khas mengambil warga-warga Malaysia terbabit. Semoga mereka dipermudahkan urusan dan kembali dengan selamat.