Buat apa susah-susah nak masak kalau dekat gerai ada jual Laksa Sarawak?
Rindukan Rumah? Ini 5 Gerai Laksa Sarawak Yang Anda Boleh Cuba Di Singapura. Kehidupan anak perantau kadang kala bukanlah sesuatu yang menyenangkan. Kalau dah datang homesick, memang tak keruan dibuatnya. Lagi-lagi mengidam makanan yang susah nak dapat kat tempat orang.
Di Singapura, ramai juga anak Sarawak yang bekerja, malah berhijrah ke sana. Sekali sekala, tentunya rindu ingin menikmati hidangan Laksa Sarawak yang rasanya sama seperti yang pernah dijamu di rumah sendiri. Dalam artikel kali ini, kami senaraikan 5 gerai yang menawarkan hidangan Laksa Sarawak yang anda boleh cuba di Singapura.
Just Laksa Sarawak, Bishan St.




Menurut sebuah blog makanan Singapura, gerai Laksa Sarawak ini dimiliki oleh seorang pemuda yang bernama Justin dan mula dibuka sebaik sahaja circuit breaker di negara tersebut dilonggarkan. Beliau dikatakan meninggalkan pekerjaan lamanya dalam sektor makanan dan minuman dan mencuba untuk membuka perniagaan makanan sendiri. Laksa Sarawak dengan udang besarnya berharga 8 dolar semangkuk. Laksa Sarawak ini juga merupakan signature dish di gerai ini.
Alamat : Blk 150 Bishan Street 11 #01-139, Bishan Green Singapore 570150
Waktu Operasi : 7:30 pagi sehingga 6 petang (Tutup hari Isnin)
Facebook : JUST Sarawak Laksa
Ian-Tau Ban Seng Sarawak Laksa




Gerai ini pula dimiliki oleh seorang anak Sarawak yang bernama Mitchell. Sewaktu dunia mula dilanda pandemik COVID-19, beliau yang pada waktu itu merupakan seorang pramugara di syarikat penerbangan Singapore Airlines terpaksa ditamatkan perkhidmatan akibat industri penerbangan yang terjejas teruk. Sejak dari itu, beliau yang terkandas di Singapura mula mengidam Laksa Sarawak dan mula bereksperimentasi dengan pelbagai jenis laksa Sarawak daripada pes yang berlainan.
Pes ini pula diterbangkan khas dari Sarawak oleh keluarganya. Setelah menemui rasa yang tepat seperti Laksa Sarawak ori, beliau akhirnya memberanikan diri untuk membuka gerai Laksa Sarawak di Singapura dan menerima sambutan yang memberangsangkan daripada penduduk di negara tersebut! Laksa Sarawak Ian-Tau Ban Seng ini bermula dengan harga 5.90 dolar semangkuk.
Alamat :
- Kopitiam Foodcourt @ VivoCity,
1 Harbourfront Walk #B2-39 098585
Waktu Operasi : 9.30 pagi sehingga 9 malam setiap hari - Johnson Eatery @ Toa Payoh
125 Toa Payoh Lor 1 310125
Waktu Operasi : 7:30 pagi sehingga 2.30 petang setiap hari
Facebook : Ian-Tau Ban Seng Sarawak Laksa
Sarawak Delicacy Laksa & Kolo Mee




Gerai yang terletak di Bedok ini dimiliki oleh Agnes, seorang rakyat Sarawak yang berasal dari Sarikei. Keluarganya memiliki sebuah kedai kopi di bandar nanas itu. Meskipun telah menetap di Singapura selama 30 tahun, namun beliau seringkali rindu akan rasa makanan Sarawak seperti yang selalu dinikmatinya sewaktu masih berada di negeri Kenyalang. Memahami akan kerinduan anak perantau dan komuniti kecil orang Sarawak yang ada di Singapura, beliau membuka sebuah gerai laksa dan mi kolok di Bedok sejak lima tahun lalu bersama-sama anaknya.
Laksa Sarawak Aunty Agnes ini boleh dinikmati dengan harga serendah 5 hingga 7 dolar Singapura untuk setiap satu mangkuk yang lengkap dengan udang segar, limau dan sambal belacan.
Alamat : Blk 204 Bedok North Street 1, #01-435, Singapore 460204
Waktu Operasi : 9 pagi sehingga 7 petang (Tutup hari Isnin)
Facebook : Sarawak Delicacy Laksa & Kolo Mee
Zhong Pin Noodle House @ Bukit Merah




Laksa Sarawak di kedai ini sedikit berbeza daripada Laksa Sarawak ori yang anda mungkin rasai. Pemiliknya, Xan Tan dan Roy Ong menjelaskan bahawa Laksa Sarawak yang dihidangkan di sini adalah hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) mereka berdasarkan selera orang Singapura. Oleh itu, Laksa Sarawak yang ada disini digelar sebagai Sarawak Laksa Fusion. Laksa Sarawak di sini dikatakan tidak terlalu pedas dan tidak terlalu berminyak jika dibandingkan dengan Laksa Sarawak tulen. Bagi anda yang tidak memakan makanan yang mengandungi MSG, ini adalah kedai yang tepat untuk anda menjamu juadah Laksa Sarawak jika berada di Singapura.
Roy yang pernah mengembara ke seluruh negeri Sarawak juga sempat mempelajari tips dan trik memasak daripada tukang masak tempatan.
Alamat : 163 Bukit Merah Central, #02-04, Singapore 150163
Waktu Operasi :
11 pagi sehingga 7 petang setiap hari
8 pagi hingga 3 petang hari Ahad
Tutup hari Sabtu
Facebook : Zhong Pin Noodle House 众品麵萬家
Tracy's Sarawak Kitchen


Restoran ini baru sahaja dibuka pada 31 Disember 2021 yang lalu. Sebelum ini, Tracy’s Sarawak Kitchen hanya mengambil pesanan pre-order sekiranya ada pelanggan yang ingin menikmati Laksa Sarawak. Sedikit berbeza dengan Laksa Sarawak tipikal yang lain, Laksa Sarawak di Tracy’s Sarawak Kitchen ini dihiasi dengan telur dadar bulat dan tidak dihiris. Bukan itu sahaja, Laksa Sarawak nya juga turut dihidangkan dengan gabungan sambal, tauge, hirisan daging khinzir, bebola daging, udang dan sambal.
Alamat : E-Centre @ Redhill, Wincafe 3791 Jalan Bukit Merah, #01-03, Singapore 159471 Singapore
Waktu Operasi :
11 pagi sehingga 7 petang setiap hari (Tutup Sabtu dan Ahad)
Facebook : 品記小厨 Tracy’s Sarawak Kitchen