Empesut tergolong di dalam spesies haiwan terancam
Kenali Dolphin Rare ‘Empesut’ Dan Mengapa Ia Haiwan Terlindung Sepenuhnya Di Sarawak. Sebelum ini, kita telah digemparkan dengan berita di mana ikan lumba-lumba Irrawaddy ditemui mati di jalan raya Kampung Muara Tebas.
Kejadian tersebut amat menyedihkan terutamanya kerana ikan lumba-lumba Irrawaddy ini merupakan spesies yang terancam!
Boleh ditemui di perairan pesisir dan sungai besar di Asia Tenggara
Empesut atau dikenali sebagai ‘Irrawaddy Dolphin’ (Orcaella brevirostris), adalah spesies lumba-lumba yang rare dan hanya boleh ditemui di perairan pesisir dan sungai besar di Asia Tenggara, Australia Utara dan Papua New Guinea. Di Malaysia, empesut boleh ditemui di Pulau Borneo iaitu di Sabah dan Sarawak!
Lazimnya, ikan lumba-lumba ini hanya ditemui di perairan laut yang luas, namun empesut merupakan salah satu ikan lumba-lumba yang lebih gemar dengan air di pesisir, lagun, payau dan air tawar Indo-Pasifik tropika dan sub tropika. Sejak 50 tahun yang lalu, jumlah ikan lumba-lumba Irrawaddy telah menurun sehingga ianya diklasifikasikan sebagai spesies haiwan terancam.

Empesut tidak mempunyai paruh
Empesut mempunyai rupa yang menarik tidak seperti ikan lumba-lumba lain di mana ianya tidak mempunyai paruh. Kepala Empesut yang bulat dan rata membuatkannya kelihatan comel, tambah lagi dengan senyumannya yang menawan!
Tahukah anda, di Burma, empesut merupakan pembantu nelayan? Nelayan di Burma bekerjasama dengan haiwan mamalia yang comel ini untuk mengumpan ikan masuk ke dalam jaring mereka dan sebagai upah, sebahagian ikan yang berjaya ditangkap akan dibagikan kepada Empesut tersebut. Memang hebatkan!
Pemangsa semula jadi ikan lumba-lumba Irrawaddy adalah ikan jerung, namun apa yang lebih membimbangkan adalah banyak ancaman dihadapi adalah daripada aktiviti manusia. Oleh kerana sikap sesetengah manusia yang cuai, empesut kini tergolong di dalam spesies haiwan terancam.

Punca utama kematian empesut kerana pencemaran habitat
Punca utama kematian empesut adalah kerana pencemaran dan kemusnahan di habitat empesut tersebut. Selain itu, terdapat banyak juga kemalangan di mana empesut mati terperangkap di dalam pukat nelayan. Spesies mamalia ini amat terdedah kepada pelbagai kesan buruk daripada aktiviti manusia.
Oleh itu, kita semua perlu bekerjasama dan memikul tanggungjawab untuk memelihara spesies yang terancam ini. Kita sebagai masyarakat jangan sesekali bersikap acuh tak acuh dan saling tuduh menuduh jika ada sesuatu yang buruk berlaku terhadap alam sekitar.
Melindungi alam sekitar adalah tanggungjawab bersama!