Nasib yang menyelamatkannya
Wanita Ini Terselamat Dari Nahas Sriwijaya Air Kerana Keputusan COVID-19 Lambat Keluar. Seorang wanita warga Indonesia yang dijadualkan menaiki pesawat Sriwijaya Air SJ182 dari Jakarta ke Pontianak di Kalimantan Barat secara tidak sengaja menyelamatkan dirinya kerana keputusan ujian saringan Covid-19 beliau lambat keluar.
Hj Rachmawati terpaksa membatalkan penerbangannya pada 9 Januari apabila keputusan ujian swabnya tidak keluar tepat pada waktunya.

SOP wajib yang mengubah nasib
Seperti di Malaysia, Indonesia juga mempunyai SOP mereka iaitu kewajiban melakukan ujian swab PCR sebelum melakukan perjalanan ke dalam negeri di Indonesia. Kebiasaannya, ujian ini memerlukan 2-3 hari untuk mendapatkan keputusannya.
Menurut laporan, beliau mengatakan pada asalnya beliau ingin ke Pontianak untuk mengunjungi keluarganya dan pada mulanya kesal dengan keputusan ujian PCR yang lambat, menyebabkan beliau terlepas penerbangan.
Tetapi, nasib ini telah secara langsung menyelamatkannya kerana pesawat terbabit dilaporkan hilang hanya beberapa minit selepas berlepas.

Keputusan ujian swab keluar selepas pesewat berlepas
Rachmawati mengatakan bahawa beliau telah memesan tiket penerbangan beberapa hari sebelumnya dan bahkan menghubungi Sriwijaya Air untuk mengesahkan tempahan penerbangannya.
Walau bagaimanapun, keputusan ujian PCR beliau hanya keluar pada hari Sabtu, 9 Januari, setelah pesawat tersebut berlepas. Oleh itu, Rachmawati terpaksa membatalkan tempahannya.

Ketika berita mengenai kehilangan penerbangan itu tular, ahli keluarga beliau di Pontianak segera berusaha menghubunginya dan mendapati bahawa beliau telah membatalkan perjalanannya akibat keputusan swab beliau keluar lambat.
Setelah mendapat keputusan ujiannya, Rachmawati terbang dengan AirAsia pada keesokan hari dan selamat tiba di rumah keluarganya di Pontianak.
Kotak hitam pesawat sedang dicari
Pencarian untuk 2 kotak hitam pesawat itu terus dilakukan ketika isyarat dari peranti tersebut dikesan semalam, dan lokasinya di Laut Jawa utara Jakarta telah dikenal pasti.

Sementara itu, beberapa bahagian tubuh manusia juga telah ditemui oleh penyelamat manakala keluarga mangsa menunggu mayat dikenal pasti agar dapat melakukan upacara terakhir untuk anggota keluarga mereka.
Semoga mereka diberi kekuatan untuk menghadapi kejadian tragis ini, takziah diucapkan kepada keluarga mangsa.