fbpx
Cerita Borneo

7 Perkara Yang Perlu Anda Tahu Tentang Hari Gawai Dayak

Perayaan Terbesar Di Sarawak

7 Perkara Yang Perlu Anda Tahu Tentang Hari Gawai Dayak. Perayaan Hari Gawai Dayak merupakan perayaan terbesar di Sarawak. Disambut setiap 1 Jun, ia merupakan masa yang amat ditunggu-tunggu oleh masyarakat Dayak di sana. Malah, pada masa ini, seluruh lapisan masyarakat akan berkumpul untuk meraikannya. Yang jauh akan datang ke ceruk rumah panjang nenek datuk mereka untuk meraikan bersama.

7 Perkara Yang Perlu Anda Tahu Tentang Hari Gawai Dayak
Kredit : Borneo Di Hati

Namun, tahukah anda apa sebenarnya yang Hari Gawai Dayak? Kali ini, kami akan kongsikan 7 perkara yang anda perlu tahu tentang Hari Gawai Dayak. Aram kitai!

1. Disambut Oleh Masyarakat Dayak

Perayaan Hari Gawai ini disambut oleh masyarakat Dayak seperti kaum Iban, Bidayuh, dan Orang Ulu seperti suku kaum Kayan, Kenyah, Kelabit, Murut and Lun Bawang. Oleh kerana kebanyakan masyarakat Dayak pada hari ini beragama Kristian, hanya kaum Iban dan Bidayuh yang masih menjadikan perayaan ini sebagai sambutan utama mereka. Masyarakat Orang Ulu pada masa kini pula lebih banyak mengutamakan perayaan Hari Krismas dan sekadar menyertai pesta Gawai yang dianjurkan oleh masyarakat Iban dan Bidayuh sahaja.

7 Perkara Yang Perlu Anda Tahu Tentang Hari Gawai Dayak
Perayaan utama suku kaum Iban (kiri) dan Bidayuh (kanan).

Walau bagaimanapun, bilangan kaum Bidayuh yang melakukan upacara kerohanian berkaitan Hari Gawai adalah sedikit kerana mereka lebih berpegang teguh kepada ajaran agama Kristian.

Namun, bagi kebanyakan kaum Iban pula, upacara kerohanian Hari Gawai masih diteruskan dengan lengkap sehingga ke hari ini.

2. Tanda Pengakhiran Musim Menuai

Sambutan Hari Gawai ini juga menandakan berakhirnya musim menuai padi. Masyarakat Dayak yang sememangnya mengamalkan aktiviti menanam padi sebagai sumber ekonomi utama mereka sejak zaman dahulu. Maka, pada penghujung musim menuai ini, mereka sudah mempunyai sumber beras yang banyak dan mencukupi untuk kelangsungan hidup dan jualan.

7 Perkara Yang Perlu Anda Tahu Tentang Hari Gawai Dayak
Kredit : story of an iban wordpress

Oleh itu, Hari Gawai diadakan sebagai tanda terima kasih kepada Tuhan atas pemberian hasil tani yang banyak dan subur.

3. Berlangsung Selama Sebulan

Jika anda lihat pada kalendar, tarikh sambutan ini tetap sama setiap tahun iaitu jatuh pada 1 Jun. Namun demikian, sambutan ini tidak terhad kepada satu hari sahaja tetapi sebaliknya berlangsung selama sebulan.

7 Perkara Yang Perlu Anda Tahu Tentang Hari Gawai Dayak
7 Perkara Yang Perlu Anda Tahu Tentang Hari Gawai Dayak.
Kredit : ZULAZHAR SHEBLEE via THE STAR

Hari pertama disambut seawal 31 Mei dan seterusnya sehingga penghujung bulan Jun. Sepanjang bulan tersebut, pelbagai upacara besar akan diadakan di rumah panjang. Ia akan diakhiri dengan upacara menggulung tikar atau ‘ngiling tikar’.

Gawai Dayak disambut secara besar-besaran di Sarawak selepas ia diisytiharkan sebagai perayaan rasmi di Sarawak selepas tahun 1964. Sebelum itu, cuti umum pada 1 Jun dinamakan sebagai Hari Sarawak di bawah pemerintahan keluarga Brooke.

4. Mesti Ada ‘Tuak’

Perayaan Gawai tidak akan lengkap jika tidak ada ‘tuak’ atau arak beras. Tuak ini merupakan minuman yang penting semasa Hari Gawai untuk dihidangkan semasa upacara kerohanian ‘Miring’ serta hidangan kepada tetamu.

Untuk pengetahuan anda, tuak akan dibuat seawal sebulan sebelum berlangsungnya Hari Gawai. Tuak diperbuat daripada bahan asas seperti beras pulut yang ditapai, ragi, gula dan air.

7 Perkara Yang Perlu Anda Tahu Tentang Hari Gawai Dayak

Namun, setiap keluarga masyarakat Iban mempunyai resepi tersendiri pembuatan tuak. Bukan itu sahaja, pembuatannya juga tidak boleh dilakukan secara sembarangan kerana ia mempunyai banyak pantang larang yang mempengaruhi rasa dan keenakannya.

5. Upacara ‘Miring’, Mengelilingi ‘Ranyai’ Dan..Banyak Lagi!

Upacara ‘Miring’ merupakan upacara yang dilakukan semasa permulaan Hari Gawai untuk mempersembahkan tanda terima kasih kepada Tuhan atau ‘Petara’ atas keberkatan hasil tani yang diperolehi pada tahun tersebut. Ia dipersembahkan kepada dewa dewi kayangan dan jasad nenek-nenek moyang iaitu Petara Aki Ini’. Anda boleh membaca lebih lanjut tentang upacara ‘Miring’ di sini :

7 Perkara Yang Perlu Anda Tahu Tentang Hari Gawai Dayak

Acara mengelilingi ‘ranyai’ pula dilakukan pada malam ambang Gawai. ‘Ranyai’ ialah simbolik pohon kayu yang kebiasaannya dibina menggunakan batang pokok pisang atau batang pohon nyiur bersama pelepahnya. Dibina di tengah ‘ruai’ rumah panjang, ia akan dikelilingi oleh penduduk rumah panjang semasa acara tersebut. Ranyai ini digantung dengan pelbagai jenis makanan dan barangan seperti makanan ringan, rokok, bir dan sebagainya.

Upacara tersebut akan dimulakan dengan seseorang dipilih untuk mengelilingi ranyai tersebut sambil diiringi wakil keluarga rumah panjang. Sambil itu, mereka akan memilih barangan yang disangkut pada pohon tersebut dengan diiringi paluan gong dan muzik. Individu terakhir akan menebang pohon ranyai tersebut. Acara ini dinamakan ‘ngetas ranyai’.

Bukan itu sahaja, sepanjang hari dan bulan Gawai ini, banyak lagi aktiviti yang diadakan. Antaranya ialah seperti pertandingan Kumang dan Keling Gawai (ratu dan pahlawan Gawai), ‘ngabang’ (menziarah), ‘ngalu ke temuai’ (menyambut tetamu), menari tarian Ngajat dan Ngajat Lesong.

7 Perkara Yang Perlu Anda Tahu Tentang Hari Gawai Dayak
Pertandingan Kumang dan Keling Gawai
Aktiviti ‘Ngabang’ atau ziarah-menziarahi
7 Perkara Yang Perlu Anda Tahu Tentang Hari Gawai Dayak
Tarian Ngajat.
Kredit : HARUN YAHYA

6. Ditutup Dengan Upacara ‘Ngiling Bidai’

Penghujung bulan Gawai pula akan ditutup dengan upacara menggulung tikar atau ‘ngiling bikai’. Ia juga disebut ‘ngiling tikai’ dan mesti dilakukan sejurus selepas tamat sebulan perayaan Gawai. Upacara ini lebih kurang sama seperti perayaan Chap Goh Mei kaum Cina.

7 Perkara Yang Perlu Anda Tahu Tentang Hari Gawai Dayak

Menurut kepercayaan orang-orang tua, tikar yang digunakan selepas perayaan haruslah digulung terus bagi mengelakkan ia didatangi oleh haiwan seperti anjing dan burung. Jika dilihat dari segi logik, ia bagi memastikan kebersihan selepas tamatnya upacara gawai.

7. Gawai Juga Disambut Di Indonesia!

Tahukah anda bahawa Hari Gawai juga disambut di Indonesia? Perayaan Hari Gawai bukan sahaja disambut di Sarawak tetapi juga disambut oleh suku kaum Dayak di bahagian Pontianak, Kalimantan Barat, Indonesia. Perayaan ini disambut secara berkumpul dan besar-besaran di Rumah Adat Radangk, Pontianak.

Di sana, setelah selesai upacara ritual, masyarakat Dayak akan berarak berjalan kaki mengelilingi bandar dengan memakai pakaian tradisional mereka. Bukan itu sahaja, mereka juga mempunyai pertandingan Kumang dan Keling namun berbeza nama iaitu pertandingan Bujang dan Dara Gawai Dayak.

Keunikan budaya suku kaum Dayak ini begitu signifikan dengan kepulauan Borneo dan negeri Sarawak, khasnya. Mungkin inilah masa yang sesuai untuk anda melihat suasana sebenar di Sarawak sambil menikmati kemeriahan perayaan Gawai yang penuh warna warni dan adat resam.

Artikel Berkaitan

Back to top button
Close