fbpx
Cerita Borneo

“Apa Guna Letak Hon Kalau Tak Berani Pakai?” Orang Sarawak Ada Sebab Tersendiri

Hon Dianggap “Suci” di Sarawak, Tidak Diguna Sesuka Hati

"Apa Guna Letak Hon Kalau Tak Berani Pakai?" Orang Sarawak Ada Sebab Tersendiri
Kredit : Daily Express

Ada orang pernah bertanya, “Kenapa orang Sarawak tak pakai hon? Apa lah function hon kalau tak berani pakai?” Mesti ada dalam kalangan anda yang pernah berhadapan dengan soalan sebegini kan? Kalau anda memang pure Sarawakian, mesti anda tahu nak jawab macam mana. Tapi, jenuh lah nak jawab soalan sama tiap kali orang tanya. Haa, kat sini kita senaraikan siap-siap bilakah hon akan dibunyikan oleh pemandu-pemandu di Sarawak.

1. Apabila Kereta Hadapan Tidak Bergerak Sesudah Lampu Hijau Menyala

Lampu hijau dah dekat nak seminit menyala, tapi kereta depan masih tak bergerak. Kadang-kadang mereka tak sedar sebab lampu merah menyala terlalu lama atau pun bermain telefon semasa berhenti. Jadi, adalah tidak salah untuk membunyikan hon kalau berlaku situasi sebegini. Bukan untuk memarahi mereka, tetapi lebih kepada menyedarkan mereka bahawa mereka perlu meneruskan pemanduan sebab kereta kat belakang dah beratur panjang.

2. Apabila Haiwan Melintas Secara Tiba-Tiba

Sesiapa yang sering melalui jalan Kuching-Serian, kejadian seperti ini memang kerap berlaku terutamanya haiwan seperti anjing, kucing dan burung. Kalau anda tengah memandu, tak perlulah anda nak terasa sangat sebab mungkin pemandu di lorong sebelah membunyikan hon sebab ada haiwan yang melintas secara tiba-tiba. Takkan nak shhuh shhuhh pulak kan? Itulah gunanya hon, bossku.

3. Apabila Kenderaan Berhampiran Memandu Dengan Merbahaya

Kadang-kadang, malang ini tidak berbau. Walau pun sudah berhati-hati di jalan raya, kemalangan masih boleh berlaku disebabkan oleh kecuaian pemandu yang lain. Hmm. Jadi, kalau anda terlihat kereta di sebelah anda kelihatan memandu dengan berbahaya (jarak kereta yang terlalu dekat, kereta keluar simpang secara tiba-tiba), biasanya membunyikan hon bukanlah suatu perkara yang menghairankan. Malah, pemandu lain mungkin akan lebih berhati-hati dengan pemanduan mereka setelah melihat kejadian yang mungkin boleh mengakibatkan kemalangan jika tak sempat dielak.

4. Apabila Hendak Beredar Dari Sesuatu Tempat

Kredit : iStockphoto

Yang ini memang sudah menjadi satu budaya di Sarawak iaitu membunyikan hon jika hendak beredar dari sesuatu tempat. Kebiasaannya, ia hanya untuk sanak-saudara, kenalan rapat atau selepas selesai sesuatu urusan. Hon akan dibunyikan sebagai tanda “Selamat tinggal, jumpa lagi”. Ada juga yang menganggap bahawa hon tersebut sebagai tanda persahabatan dan hubungan silaturrahim. Siapa sangka hon boleh mengeratkan silaturrahim?

Pokoknya, perbuatan membunyikan hon ini adalah sesuatu yang sensitif dan sangat dijaga oleh masyarakat di Sarawak. Walau pun semasa kesesakan lalu lintas, hon tidak akan dibunyikan kerana masing-masing faham bahawa pencemaran bunyi melalui bunyi hon boleh menambahkan lagi tekanan semasa kesesakan. Begitu juga di musim perayaan atau keraian di rumah ibadat di mana hanya beberapa buah jalan sahaja dibuka. Membunyikan hon sesuka hati juga dianggap sebagai satu bentuk buli terhadap pemandu di Sarawak.

Sikap toleransi dan bertimbang rasa dalam hal ini membuktikan bahawa ia adalah satu nilai penting yang sentiasa diamalkan dalam hidup setiap rakyat Sarawak. Benda boleh rilek, buat apa nak kecoh kan? Love and peace! Ooohaa!

Artikel Berkaitan

Back to top button
Close