fbpx
Cerita Borneo

Belanja RM 8.2 Juta, Sarawak Kini Miliki 50 Tan PPE Dan Bekalan Perubatan

Bantuan Untuk ‘Frontliners’ Seluruh Sarawak Telah Tiba

Belanja RM 8.2 Juta, Sarawak Kini Miliki 50 Tan PPE Dan Bekalan Perubatan. Sarawak hari ini akhirnya menerima bekalan PPE dan bekalan perubatan yang lain apabila pesawat khas yang membawa bekalan tersebut tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching tengah hari tadi.

Pesawat pengangkut kargo jenis Airbus A330 tersebut disewa khas untuk menerbangkan sejumlah 50 tan PPE beserta bekalan perubatan yang lain dari Shanghai, China terus ke Kuching. Kesemua bekalan ini adalah hasil pembelian kerajaan Sarawak bagi memastikan kelengkapan hospital dan petugas hadapan mencukupi.

Kredit : UKAS

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, Datuk Abdul Karim Hamzah, menyatakan bahawa kerajaan Sarawak bakal mengagihkan keperluan tersebut kepada 36 hospital di seluruh Sarawak secepat yang mungkin.

Bekalan Diterbangkan Terus Dari Shanghai, China

Tambahnya lagi, pesawat tersebut disewa khas daripada Malaysia Airlines bagi membawa bekalan tersebut terus dari China ke Kuching. Ia bagi memastikan keperluan ini dapat dipenuhi dengan segera memandangkan fasiliti kesihatan kini sedang menghadapi kesukaran akibat kekurangan suit perlindungan diri.

Antara item yang terkandung dalam 50 tan bekalan tersebut ialah 50,000 keping gogal perlindungan perubatan, 125,880 keping topeng muka KN95, 900,000 keping topeng muka pembedahan (surgical mask), 50,040 PPE beserta pelindung kasut perubatan yang berjumlah 50,040 pasang.

Belanja RM 8.2 Juta, Sarawak Kini Miliki 50 Tan PPE Dan Bekalan Perubatan
Gambar hiasan.
Kredit : NSTP/OSMAN ADNAN

Pesawat MAS Kargo MH6496 tersebut berlepas dari Shanghai, China pada jam 10.18 pagi tadi dan selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada jam 3.43 petang.

Sumber Bekalan PPE Ini Bergantung Kepada Jumlah Kes Akan Datang

Semasa menjawab pertanyaan sidang media petang tadi, Datuk Abdul Karim Hamzah turut menyatakan bahawa sumber bekalan perubatan ini bergantung kepada jumlah kes yang akan datang. Berdasarkan situasi sekarang, jumlah kes semakin stabil dan tiada kluster baru dijangka muncul selepas ini. Walau bagaimanapun, semua pihak terutamanya penduduk harus memainkan peranan mereka untuk kekal berada di rumah dan menjauhkan diri daripada sebarang perkumpulan atau aktiviti besar-besaran.

Belanja RM 8.2 Juta, Sarawak Kini Miliki 50 Tan PPE Dan Bekalan Perubatan

Dalam perkembangan yang sama, Dr. Sim Hui Kian turut memaklumkan bahawa sebanyak 40 treler kontena dan 3 trak digunakan untuk mengangkut bekalan tersebut. Pada asalnya, bekalan tersebut sepatutnya dibawa ke Sarawak pada 1 April yang lalu. Namun, berlaku sedikit masalah logistik yang menyebabkan bekalan tersebut terpaksa dibawa menggunakan trak dari Qindgao, Shandong ke Shanghai sejauh 800 km.

Bekalan Berjumlah RM 6.5 Juta, Sewa Khas Kargo RM 1.7 Juta

Difahamkan, sebanyak bekalan PPE dan perubatan tersebut berjumlah RM 6.5 juta manakala sewa khas kargo berjumlah RM 1.7 juta.

Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan Sarawak atas sumbangan tersebut. Dengan sumbangan ini, ia turut membuktikan bahawa kerajaan Sarawak turut bekerja keras bersama pihak kesihatan untuk mengekang penularan COVID-19.

Selain itu, mereka juga turut menyampaikan sekalung penghargaan kepada Jeneral Konsulat China di Kuching, Jabatan Kastam Malaysia, MAS Kargo dan agensi lain yang terlibat.

Artikel Berkaitan

Back to top button
Close