fbpx
Cerita Borneo

Kisah Bot Penambang Kuching Yang Teguh Berkhidmat Hingga Ke Hari Ini

Kisah Bot Penambang Kuching Yang Teguh Berkhidmat Hingga Ke Hari Ini. Bot penambang dilaporkan telah beroperasi sejak tahun 1800-an semenjak perdagangan antara kaum Melayu, Dayak dan Cina. Malah, perkhidmatan bot penambang turut dijalankan sampai ke hari ini. Berikut adalah 5 fakta mengenai bot penambang Kuching yang digunakan sejak zaman datuk nenek kita!

Pemilikan Perahu Di Kalangan Orang Melayu Bukan Pilihan Tetapi Harusnya

Kampung-kampung Melayu di sekitar kubu dan Astana telah wujud sebelum Rajah pertama tiba di Kuching. Ini kerana penempatan tradisional Melayu dapat ditemui di sepanjang tebing sungai kerana ia memudahkan penyambungan yang membantu sosioekonomi mereka.

Rumah-rumah yang dibina sangat rapat antara satu sama lain dan dipisahkan oleh terusan. Oleh itu, penduduk di kawasan kampung-kampung ini harus memiliki perahu kecil atau perahu tambang. Ia ibarat pemilikan kereta zaman moden dan perahu tambang adalah teksi (kedak Grab kita lah) yang sama ada dibina sendiri atau tukang kayu yang diupah.

Pada Suatu Ketika Dahulu, Penambang Merupakan Satu-Satunya Mod Pengangkutan Ke Seberang Sungai

Sebelum wujudnya jambatan Darul Hana, penggunaan penambang untuk menyeberang sungai ke dan dari pusat bandar adalah perkara biasa.

Walaupun wujudnya jalan darat untuk pergi ke seberang, kebanyakan orang lebih suka menggunakan penambang sebab ia mudah dan jimatkan masa. Oleh itu, kebanyakan pelajar yang berdiam di kampung-kampung seberang seperti Kampung Seberang Hilir akan menggunakan penambang semasa pergi atau balik dari sekolah dan ibu bapa mereka akan menghantar atau bertunggu anak mereka di pengkalan seberang.

Kisah Bot Penambang Kuching Yang Teguh Berkhidmat Hingga Ke Hari Ini
Kisah Bot Penambang Kuching Yang Teguh Berkhidmat Hingga Ke Hari Ini, Kredit: InterAsia

Harga Tambang Pernah Cecah 5 Sen

Menurut seorang pak tambang yang telah berkhidmat selama 35 tahun, beliau menyatakan seorang akan dikenakan 5 sen sebagai tambang sebab pada zaman dulu jumlah penumpang lebih ramai berbanding kini.

Namun, keadaan ekonomi telah memberi cabaran besar, dengan kos sara hidup yang tinggi serta peningkatan harga minyak, telah memaksakan pak-pak tambang untuk menaik harga tambang.

Daripada 5 sen ke 50 sen, sehingga ke RM1 dan kini RM2 untuk one way, lebih 10 kali ganda!

Penggunaan Penambang Masih Dapat Dilihat Sampai Ke Hari Ini

Walaupun harga tambang sudah meningkat, namun masih ada juga orang menggunakan penambang.

Dalam 2019, 12 buah bot penambang melalui proses menaik taraf dengan pemasangan panel solar serta pemberian wajah baharu!

Proses naik taraf bot penambang ini dilakukan oleh Fakulti Alam Bina UNIMAS dan salah satu cabang dalam Projek Old Kampung Heritage yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri Sarawak.

Spark Innovation yang dikendali oleh pelajar-pelajar UNIMAS telah membantu untuk memberi wajah baharu kepada bot-bot penambang dengan melengkapkan bot-bot tersebut dengan sistem solar untuk menerangi bot dan menambah ke pemandangan sungai pada waktu malam! Wah… kompom kacak time malam!

Ini telah membawa kemudahan kepada pak-pak tambang yang perlu bergantung kepada penggunaan lampu dan bateri luaran sebagai bekalan tenaga untuk pencahayaan bot. Ia turut menjadi positif, mudah, dan bermanfaat kepada pak-pak tambang sejajar dengan transformasi teknologi kini.

Lampu-lampu ini menambah keunikan sungai yang berserasi dengan lampu jambatan Darul Hana dan musical fountain pada waktu malam.

Kisah Bot Penambang Kuching Yang Teguh Berkhidmat Hingga Ke Hari Ini
Kredit: Kuching Kampung Heritage

Sebuah Tradisi Banggaan Kuching

Walaupun sudah tidak serancak dahulu, perkhidmatan bot penambang masih ditagih penduduk setempat dan sesekali pelancong yang ingin merasai perkhidmatan yang wujud sejak zaman kolonial ini lagi.

Menurut salah satu pengusaha perahu tambang, pekerjaan ini bukan sahaja untuk mencari pendapatan malah sebagai penyambung tradisi.

Seorang lagi pak tambang berkata khidmat perahu tambang perlu diteruskan agar warisan budaya ini yang menjadi ikon pelancongan Bumi Kenyalang tetap terpelihara bagi tatapan generasi masa depan. Katanya,

“Sudah lebih 20 tahun saya mencari rezeki sebagai Pak Tambang… saya tidak mahu ia lenyap begitu sahaja kerana tidak ada generasi pelapis yang mahu meneruskan kerjaya warisan ini. Sekiranya itu terjadi, maka sia-sia lah usaha kami selama ini membina imej perahu tambang sebagai ikon pelancongan Bumi Kenyalang jika khazanah itu tidak dipertahankan pada masa depan.”

Salah satu pak tambang yang mengendali bot penambang walaupun sudah wujudnya sebuah jambatan yang memudahkan penduduk untuk menyeberang sungai. Kredit: KuchingBorneo

Give Some Love To Your Local Pak Tambang, guys!

Sekiranya anda teringin untuk menyeberang sungai dari atau ke pusat bandar, sekali sekala gunalah bot penambang daripada menggunakan jambatan yang disediakan. Dah kacak dah penambang lepas penaikan taraf ooo. Kompom segala nostalgia kembali!

Kredit: Tenor

Apakah kenangan anda menggunakan bot penambang? Komen dan jangan lupa share!

Artikel Berkaitan

Back to top button