fbpx
Cerita Borneo

Pelajar Sarawak Menang Emas Pertandingan Inovasi Antarabangsa

Tahniah Anak Muda Sarawak!

Sekumpulan pelajar dari Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Kai Ming Bintulu, Sarawak, berjaya meraih pingat emas pada pertandingan inovasi Pameran Teknologi, Inovasi dan Reka Cipta, Harta Intelek Antarabangsa (IPITEX 2020) di sini, menerusi ciptaan mereka yang dinamakan “B-Beep”.

Pelajar Sarawak Menang Emas Pertandingan Inovasi Antarabangsa

B-Beep merupakan alat ‘keloi’ bluetooth khusus bagi meningkatkan keselamatan pelajar sekolah, di mana para pelajar boleh membawa alat komunikasi yang digerakkan oleh BBC micro:bit itu kemana-mana sahaja, kerana sifatnya yang ringan, kecil dan ringkas.
Tiga pelajar dari sekolah berkenaan, Nathanael Lim Yee Ning, 10, Ling Guan Yee, 12, dan adiknya, Ling Yan Ru, sembilan, mendapat idea untuk mencipta alat itu bagi memastikan keselamatan kanak-kanak sekolah khususnya selepas waktu sekolah atau selepas kelas tuisyen.

Mereka memenangi pingat emas, serta anugerah khas – Anugerah Pencipta Muda dari pertubuhan Warga Inovasi dari Singapura, sebagai pengiktirafan kepada kreativiti mereka.
Guan Yee dan Yan Ru berkata idea bagi mencipta lat itu muncul semasa mereka sedang menunggu bapa mereka datang untuk mengambil mereka dari sekolah.

Pelajar Sarawak Menang Emas Pertandingan Inovasi Antarabangsa

“B-Beep boleh menghalang kanak-kanak daripada diculik, mengurangkan masa menunggu di kalangan ibu bapa, di samping mengurangkan kesesakan trafik di persekitaran sekolah,” kata Guan Yee ketika ditemui Bernama di sini baru-baru ini,

Ibunya, Lee Siau Ken yang juga guru sekolah berkenaan berkata oleh kerana telefon bimbit tidak dibenarkan di sekolah-sekolah, B-Beep merupakan alat alternatif bagi memastikan kanak-kanak selamat selepas waktu sekolah, ketika menunggu ibu bapa datang untuk mengambil mereka.

“Dengan menggunakan aplikasi yang ‘disambungkan’ dengan telefon bimbit menerusi bluetooth, para ibu bapa akan dapat memaklumkan kepada anak-anak mereka, bahawa mereka sudah sampai ke pekarangan sekolah.

Menurutnya dengan alat itu, para pelajar sekolah boleh membuat kerja sekolah atau mengulangkaji pelajaran semasa menunggu kadatangan ibu bapa, dengan lebih selesa.

Ciptaan B-Beep menewaskan 1,200 rekaan dan produk dari lebih 20 negara yang mengambil bahagian, termasuk United Kingdom, Kanada, Korea, Laos, Hong Kong, China, Romania, India dan Indoneisa dalam pertandingan rekaan dan inovasi sempena Hari Pencipta Thailand pada 2 Feb lepas.

Delegasi Malaysia yang terdiri daripada wakil persatuan Malaysian Invention and Design Society (MINDS) dan Persatuan Penyelidikan dan Inovasi (MyRIS) memanangi 32 pingat emas, 68 perak dan 74 gangsa dalam ekspo tahunan itu.

IPITEX merupakan satu platform bagi pencipta muda menampilkan potensi ciptaan masing-masing di samping mendapatkan pendedahan serta pengalaman yang amat berharga.

Artikel Berkaitan

Back to top button