fbpx
Cerita Borneo

Rafflesia – Fakta Bunga Borneo yang Perlu Anda Tahu

Yang Cantik Biasanya Memang Ada Cerita yang Jarang Diketahui Ramai

Rafflesia - Fakta Bunga Borneo yang Perlu Anda Tahu
Kredit : Sarawak Forestry

Rafflesia – Fakta Bunga Borneo yang Perlu Anda Tahu. Siapa tak kenal bunga yang paling besar di dunia? Bunga Rafflesia atau dalam Bahasa Melayu disebut sebagai Bunga Pakma merupakan salah satu spesis yang kini diancam kepupusan kerana habitatnya semakin terhad. Kalau di Sarawak, bunga Rafflesia ini kebiasaannya dapat dilihat di Taman Negara Gunung Gading, Lundu. Namun, adakah anda tahu rahsia di sebalik bunga yang penuh misteri ini?

Di sini kami senaraikan beberapa info yang menarik untuk dikongsi tentang bunga Rafflesia ini. Jom!

1. 9 daripada 55 Spesis Rafflesia Ada di Borneo

Rafflesia - Fakta Bunga Borneo yang Perlu Anda Tahu
Kredit : Tempo.co

Walaupun kebanyakan bunga Rafflesia nampak macam sama, tetapi sebenarnya terdapat 55 spesis Rafflesia yang direkodkan di seluruh dunia. Namun, menurut The Board of Trustees of The Sabah Parks, hanya terdapat 9 spesis yang dijumpai di Kepulauan Borneo. Antaranya ialah Rafflesia arnoldii, Rafflesia tuan mudae, Rafflesia keithii, Rafflesia tengku adlinii, dan Rafflesia pricei.

2. Nama Saintifik Rafflesia tuan-mudae Diambil Sempena Nama Rajah Sarawak Kedua, Charles Brooke

Rafflesia - Fakta Bunga Borneo yang Perlu Anda Tahu
Rajah Sarawak Kedua, Charles Brooke. Kredit : Wikidata

Di Sarawak, kebanyakan spesis yang dijumpai adalah daripada spesis Rafflesia tuan-mudae. Tapi kenapa bunyinya seperti bahasa Melayu, tuan muda? Untuk pengetahuan anda, tuan muda merupakan gelaran untuk Rajah Sarawak Kedua iaitu Charles Brooke. Jadi, nama Rafflesia tuan-mudae ini adalah bersempena dengan gelaran tersebut.

Rafflesia tuan-mudae ini juga merupakan spesis endemik di Barat Sarawak (Lundu) sehinggalah ke bahagian Tengah Sarawak iaitu di kawasan Belaga. Endemik bermaksud spesis unik yang hanya terdapat di sesebuah kawasan. Taman Negara Gunung Gading di Lundu, Kuching merupakan destinasi tumpuan untuk melihat spesis ini berbunga. Bunga Rafflesia tuan-mudae ini mempunyai lima atau enam kelopak, berwarna oren cerah dengan corak bintik-bintik yang timbul pada kelopaknya.

3. Bunga Rasmi Negeri Sabah, Indonesia dan Surat Thani, Thailand

Rafflesia - Fakta Bunga Borneo yang Perlu Anda Tahu
Kredit : Wowshack

Rupa-rupanya, bunga Rafflesia ini merupakan bunga rasmi untuk beberapa buah tempat di dunia termasuk di Malaysia. Ia diangkat menjadi bunga rasmi untuk negeri Sabah, Malaysia serta bunga rasmi untuk daerah Surat Thani di Thailand.

Selain itu, spesis Rafflesia arnoldii juga dipilih sebagai salah satu bunga nasional negara Indonesia selain bunga Melati Putih dan bunga Anggrek Bulan. Pemilihan bunga nasional di Indonesia dikatakan berdasarkan ciri bunga yang dapat mewakili karakteristik sebuah bangsa dan negara. Bunga pakma juga disebut sebagai bunga padma raksasa atau puspa langka di Indonesia. Wah, unik juga nama rafflesia di sana.

4. Bunga Rafflesia Pertama di Dunia dijumpai oleh Ahli Botani British, Joseph Arnold dan Sir Stamford Raffles

Rafflesia - Fakta Bunga Borneo yang Perlu Anda Tahu
Ahli Botani British, Dr. Joseph Arnold. Kredit : Suffolk Artists
Rafflesia - Fakta Bunga Borneo yang Perlu Anda Tahu
Sir Stamford Raffles. Kredit : Jeme Padang Guci

Tahukah anda bunga Rafflesia yang pertama di dunia dijumpai di hutan hujan Bengkulu, Sumatera, Indonesia? Pada tahun 1818, ahli botani British, Dr. Joseph Arnold bersama Sir Stamford Raffles. Walau bagaimanapun, Dr. Joseph Arnold meninggal dunia sebelum sempat menamakan bunga tersebut secara rasmi.

Menariknya, sebelum Dr. Joseph menemui bunga tersebut, seorang pengembara Perancis, Louis Auguste Deschamps terlebih dahulu menjumpai bunga rafflesia (Rafflesia patma) pada tahun 1797. Namun, akibat rampasan kapal oleh pihak British susulan peperangan dengan Perancis, semua catatan Deschamps turut dirampas.

Menyedari bahawa Deschamps boleh menamakan bunga tersebut walaupun catatan nya dirampas, ahli botani British/Scotland, Robert Brown segera menerangkan spesis tersebut dan dibawa ke mesyuarat Linnean Society of London seterusnya diterbitkan dalam Annals of Philosophy pada September 1820.

Linnean Society of London merupakan persatuan biologi yang tertua di dunia dan masih aktif sehingga kini. Kredit : Inspirock

Akhirnya, beliau menamakan bunga tersebut dengan nama generik Raffles iaitu Rafflesia dan nama spesis sebagai arnoldii bagi memperingati jasa mereka berdua dalam penemuan bunga Rafflesia. Fuhh, ada perebutan nak jadi orang pertama lah kiranya.

5. “Mengandung” Maksimum 16 Bulan Sebelum Mekar

Bunga Rafflesia ini mengambil ini masa selama maksimum 16 bulan sebelum ianya mekar menjadi sebuah bunga yang besar. Dalam tempoh masa tersebut, kudupnya yang kelihatan seperti kubis akan membesar dan kebiasaannya dijumpai pada sulur-sulur pokok Tetrastigma.

Kudup bunga Rafflesia. Kredit : The Parasitic Plant Connection

Apabila tiba tempoh matang, kelopaknya akan mulai mekar sedikit demi sedikit pada waktu malam dan mengambil masa kira-kira 12 hingga 48 jam untuk mekar sepenuhnya. Walau bagaimanapun, tempoh mekarnya hanyalah 4 hingga 8 hari dan seterusnya akan mereput. Jika anda ingin menyaksikan bunga Rafflesia ini mekar, pastikan anda alert dengan pengumuman yang biasanya dibuat oleh pihak taman negara.

Ahli Botani Perancis, Patrick Blanc menjelaskan tentang kitar hidup Rafflesia tuan-mudae. Sumber : Youtube creaturefree

Bukan setakat itu, bunga ini juga diancam kepupusan kerana ia memerlukan kawasan hutan hujan yang tidak terganggu untuk hidup. Dalam pada masa yang sama, bunga Rafflesia betina dan jantan perlulah mekar pada waktu yang sama bagi memastikan generasi Rafflesia mekar lagi pada musim yang akan datang.

Pasti ada yang baru tahu tentang fakta-fakta unik tentang bunga Rafflesia ini kan? Jangan lupa like dan share info ini!

Artikel Berkaitan

Back to top button