Perayaan ini hanya sehari, namun amat sukar untuk doktor Hindu di Sarawak mendapatkan cuti tanpa rekod
Media Lapor Doktor Hindu Di Sarawak Tidak Dapat Layanan Setara Untuk Cuti Thaipusam. Menerusi laporan media New Straits Time, doktor Hindu yang bertugas di Sarawak sekali lagi menzahirkan kebimbangan kerana tidak dapat mengambil cuti tanpa rekod untuk sambutan Thaipusam yang akan datang.
Seorang doktor yang enggan dikenali, ditemubual oleh media berkenaan dan meluahkan kekecewaannya terhadap layanan tidak setara terhadap doktor yang beragama Hindu di Sarawak.
Seperti sedia maklum, Thaipusam tidak termasuk dalam senarai hari cuti umum di Sarawak. Disebabkan perkara ini, para penjawat awam termasuk doktor yang merayakan perayaan tersebut tidak layak mendapat cuti tanpa rekod walaupun mereka berasal dari Semenanjung.
Setiap negeri yang lain di Malaysia boleh menawarkan cuti Thaipusam, tetapi amat malang bagi Sarawak yang tidak dapat menawarkan kami cuti tanpa rekod untuk sambutan ini. Perayaan ini hanya sehari dalam setahun dan kami tidak layak mendapatkan satu hari pun cuti tanpa rekod?
Pemimpin dan ahli politik dengan lantang mengulas tentang isu 200 doktor yang tidak menerima tawaran untuk datang ke Sarawak dan berkeras meminta agar para doktor menerima tawaran tersebut tetapi bila muncul isu sebegini, mereka hanya mendiamkan diri,”
Doktor Hindu di Sarawak
Mengulas lanjut, doktor Hindu berkenaan mempersoalkan bagaimana Sarawak mengharapkan masyarakat India untuk datang ke wilayah tersebut dan berkhidmat untuk rakyat Sarawak sekiranya mereka terus diperlakukan sedemikian.
Doktor boleh dapatkan cuti rehat khas di pagi Thaipusam, tertakluk kelulusan pengarah hospital
Walau bagaimanapun, media berkenaan juga melaporkan bahawa doktor boleh mendapatkan waktu rehat khas di pagi hari Thaipusam, namun ianya tertakluk kepada kelulusan pengarah hospital.
Tahun lalu, media yang sama melaporkan terdapat doktor Hindu yang bertugas di pinggir Sarawak menzahirkan kekecewaan apabila mendapat layanan tidak setara dalam isu cuti hari perayaan, kerana tidak dapat pulang ke rumah keluarga tepat pada masanya untuk menyambut Deepavali.
Namun, selepas pendedahan tersebut, kerajaan negeri Sarawak dan ketua pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bersetuju untuk menyediakan cuti tanpa rekod pada Isnin, 13 November 2023, kepada semua penjawat awam Hindu yang menyambut Deepavali.
Isu ini boleh menyebabkan kekurangan staf kesihatan di Sarawak semakin meruncing
Sehubungan dengan isu ini, doktor yang ditemubual oleh New Straits Time berkenaan cuti Thaipusam tadi turut menyuarakan pendapatnya tentang doktor muda yang terus menolak penempatan ke Sarawak, mengetahui bahawa mereka sukar atau tidak akan diberikan cuti meskipun untuk perayaan keagamaan sendiri.
Doktor tersebut juga tidak menolak kemungkinan bahawa masalah doktor menolak tawaran di Sarawak ini sebenarnya akan menyumbang kepada masalah kekurangan kakitangan kesihatan di wilayah ini.