Sebelum wujudnya agama, penduduk Borneo mempunyai cara yang berbeza untuk menguburkan orang mati
Ini 4 Pengebumian Kuno Di Masyarakat Borneo. Pengebumian adalah peristiwa yang menyedihkan. Kita bukan sahaja mengucapkan selamat tinggal kepada si mati selama-lamanya, tetapi hanya kenangan dengan mereka sahaja akan menjadi peringatan sehingga akhir hayat masing-masing.
Kini, kita sudah biasa melihat pengebumian cara Islam, Kristian, Hindu, Buddhist dan sebagainya tetapi sebelum wujudnya agama di kalangan masyarakat Borneo, masing-masing mempunyai cara berbeza untuk menguburkan jenazah.
1. Dalam Tajau (Sesetengah Kaum di Sabah)
Tajau merupakan sebuah tempayan besar yang boleh muat tubuh seseorang – pengebumian jenazah dalam tajau dilakukan di kalangan kaum etnik di Sabah. Proses pengebumian bermula dengan pukulan gong untuk menyatakan seseorang sudah meninggal dunia. Apabila gong dipukulkan, orang-orang di kampung harus berhenti kerja. Jika tidak, mereka akan didenda iaitu harus memberi seekor babi kepada keluarga si mati.
Mayat akan dimandikan, dipakaikan pakaian cantik lalu didandan dan diletakkan di rumah keluarga si mati untuk diberikan penghormatan terakhir. Setelah dua hari, mayat akan dimasukkan ke dalam sebuah tajau dan ditutup dengan papan. Sebuah lampu kecil akan dinyalakan di atas untuk mengusir hantu-hantu yang ingin mengganggu mayat.
Pada hari yang sama, tajau akan dikeluarkan pada 12 tengah malam untuk meneruskan upacara di mana ahli-ahli keluarga si mati akan mengelilingi tajau sambil menangis.
Pada hari terakhir, ahli-ahli keluarga akan bersuka ria sebagai tanda penghormatan kepada si mati yang masih berada di rumah. Keesokan hari, tajau tersebut akan dibawa dan diusung menggunakan usungan kayu. Ahli keluarga akan menangis sepanjang waktu sebagai tanda mengucapkan selamat tinggal kepada roh si mati serta berharap agar rohnya akan selamat sampai ke alam seterusnya. Tajau ini akan diusung ke tapak pengebumian kekal dan gong akan dipukul sepanjang masa sebagai tanda penghormatan. Tajau juga akan dihiasi dengan manik berwarna warni dan kayu penutup akan diukir dengan corak cantik.
Setelah 4 hari, proses terakhir adalah di mana ahli keluarga akan menyalakan 3 bara api. Api ini akan dikawal untuk mengelak roh meniupkan api kerana ia dipercayai jika api itu ditiup, ia akan membawa malapetaka ke keluarga rumah si mati.
2. Keranda kayu balak dalam Gua Kinabatangan (Kaum Dusun, Sabah)
Antara pengebumian paling kuno di masyarakat Malaysia, upacara pengebumian ini wujud sejak 600 hingga 900 tahun dahulu. Selain orang-orang kampung di sekitar Kinabatangan, pengebumian ini juga dibuat oleh sub etnik idahan dan sungai daerah lain seperti Kunak, Semporna dan Lahad Datu.
Kayu balak yang diperbuat daripada kayu belian dan kayu merbau akan digunakkan sebagai keranda dan akan diletak dalam gua. Keranda-keranda ini akan disimpan di gua seperti Gua Supu, Miasis Darat, Agop Batu Tulug, Agop Sarupi dan Gua Gomantong. Kesemua gua ini diletak di bukit yang tinggi dan curam.
Menurut kepercayaan orang dahulu, kawasan tinggi adalah simbol status sosial si mati yang biasanya dari golongan bangsawan atau merupakan seorang ketua kampung. Oleh itu, sesiapa yang berada di kawasan atas, mereka berstatus tinggi. Untuk mereka yang dikebumikan di bawah, mereka dari status rendah.
3. Jerunai (Kaum Melanau, Sarawak)
Pengebumian dalam jerunai hanya untuk golongan aristokrat di kalangan kaum Melanau. Jerunai merupakan satu tiang pengkebumian berbentuk bulat dan ketinggiannya boleh mencecah tinggi 12-15 meter. Tiang ini kebiasaannya diperbuat daripada kayu belian dan akan dibuat oleh si pemiliknya sewaktu dirinya masih hidup, umpama sudah mengetahui yang maut sudah semakin hampir.
Jerunai ini ada 2 atau 3 lubang. Lubang paling bawah adalah tempat untuk letak barang berharga si mati. Baca lebih lanjut untuk mengetahui apa fungsi dua lubang seterusnya…
Mayat akan disimpan dalam sebuah tempayan besar dan dibiarkan mereput secara semulajadi sehingga meninggalkan rangka-rangka. Tempayan itu kemudian dipindahkan ke dalam satu lubang yang terletak di bahagian tengah jerunai. Ini akan menjadi tempat persemadian kekal si mati.
Untuk lubang ketiga dan teratas, seorang hamba akan diikat dan dibiar tanpa makan dan minum sehingga hamba tersebut mati. Tujuan pengorbanan hamba adalah untuk menemani si mati ke alam kematian.
4. Pengebumian berkembar (Kaum Kelabit, Sarawak)
Suku kaum Kelabit mengamalkan bentuk pengebumian primer dan sekunder yang tidak terdapat di antara jiran Orang Ulu mereka.
Semasa pengebumian primer, sebuah tempayan digunakan sebagai keranda. Bahagian atas tempayan akan dipecah sekitar 3/4 dari ketinggiannya, di bawah leher. Mayat akan diletakkan di dalam tempayan dalam keadaan duduk, dengan tangan dirapatkan di dada.
Tempayan itu kemudian ditutup dengan bahagian atas yang dipecahkan dan diikat dengan beberapa helai rotan. Jika mayat terlalu besar, sebuah bakul khas iaitu kelimeng yang diperbuat daripada kulit pokok digunakan untuk memanjangkan ketinggian tempatan sebelum ditutup dan diikat dengan selamat.
Tempayan ini akan disimpan di kawasan rumah panjang dan sebuah lubang akan dicucuk di bahagian bawah tempayan untuk disambung ke buluh besar. Ini akan dicucuk ke dalam tanah untuk mengalirkan cecair.
Bagi keluarga aristokrat, mereka akan mengguna sebuah keranda iaitu lungun yang diukir corak dan kemudian diletak atas tiang. Kedua-dua proses ini akan dibiarkan sementara menunggu bekalan beras dan air burak adalah cukup untuk dihidangkan ke komuniti sempena burak ate’ (jamuan kematian).
Setelah setahun lalu, pengebumian sekunder akan dilakukan di mana tulang si mati akan diletakkan di tempat pengebumian kekal iaitu binatuh semasa jamuan tersebut. Ia akan disertai dengan pendirian monumen batu sebagai tanda penghormatan kepada si mati dan juga menunjukkan status sosial keluarga.
Majlis ini akan kekal selama 4 hingga 5 hari dengan 500 tetamu di mana satu-satunya aktiviti ialah pengeluaran tulang dari tempayan untuk diletak dalam sebuah tempayan yang lebih besar, biasanya reka bentuk naga, untuk pengebumian kekal. Jika mayat dikebumikan di tempat kelahirannya, jenazah akan diberi kepentingan tinggi.
Pengebumian kuno di Borneo, merentasi dari Gua Niah di Sarawak ke Lembah Danum dan Gua Agop Batu Tulug di Sabah, memperlihatkan kekayaan sejarah manusia dan kepelbagaian budaya di Asia Tenggara. Tapak-tapak ini, yang bertarikh seawal 40,000 tahun yang lalu, bukan sahaja mewakili sebahagian daripada bukti penempatan manusia yang tertua di rantau ini, tetapi juga memberikan gambaran tentang amalan pengebumian, ungkapan artistik, dan kehidupan harian masyarakat kuno yang sentiasa berubah. Dari penemuan mayat manusia tertua di Malaysia Timur hingga ke peti mati kayu yang rumit dan lukisan gua, khazanah arkeologi ini menawarkan wawasan berharga ke dalam era prasejarah dan hubungan antara Borneo dengan budaya Asia Tenggara yang lebih luas.