Salah satu kaum yang terkenal di Sarawak
Kenali Adat Dan Pantang Larang Setiap Kaum Bidayuh. Malaysia terkenal dengan masyarakatnya yang berbilang kaum dan Sarawak tiada kurangnya. Antara kaum yang terkenal di Sarawak adalah kaum Bidayuh dan kaum ini mempunyai pelbagai pecahan. Malah, adat dan pantang larang mereka ada persamaan dan juga perbezaan (which makes them just as unique!)
Dalam artikel ini, adat dan pantang larang kaum Bidayuh akan dicampurkan berdasarkan dari mana sumber berasal. Difahamkan kebanyakan adat/pantang larang yang akan dijelaskan mempunyai persamaan dengan daerah/kaum Dayak yang lain.
Sekiranya anda berbangsa Bidayuh yang bukan daripada daerah tersebut dan mempunyai adat/pantang larang yang sama atau mempunyai persamaan sedikit, anda digalakkan kongsi komen di bawah sebagai pendidikan kepada semua tentang variasi adat/pantang larang kampung anda. (Mereka yang bukan berbangsa Bidayuh dan mempunyai adat/pantang larang yang lebih kurang sama pun digalakkan komen. Share-share lah guys!)

1. Bidayuh (Bau – Jagoi)
Menurut sumber yang berbangsa Bidayuh Jagoi, terdapat beberapa pantang diperhatikan semasa kematian seseorang. Ketika mereka masih pagan, mayat hanya akan disimpan selama sehari dan dibakar kemudian, tetapi memandangkan kebanyakan mereka kini sudah memeluk agama Kristian, sebuah adat baru diperkenalkan.
Pada waktu malam, seorang wakil ditugaskan untuk menjaga keranda. Mereka akan ke tanah perkuburan untuk pengebumian selepas 7 hari, setelah semua ahli keluarga sudah sampai ke rumah keluarga si mati. Dalam 7 hari tersebut, mereka akan bersembahyang dan akan menutup televisyen dan menutup cermin dengan kain. Difahamkan juga beberapa keluarga memilih untuk mengadakan sesi tersebut selama 3 hari baru membawa keranda ke tanah perkuburan untuk pengembumian.
Ketika durasi ini juga, kucing peliharaan akan dikurungkan atau dikeluarkan. Semasa perkuburan, barang kepunyaan yang meninggal akan dikuburkan sekali (sebagai contoh: tilam, baju dll.)

Ketika di dalam hutan, mereka dikehendaki untuk meletak sehelai daun di sisi kepala (atas telinga) sekiranya hujan panas. Bagi mereka yang tidak pernah masuk ke dalam hutan tersebut, mereka dikehendaki untuk sapu tanah di dahi.
Mereka juga perlu meminta kebenaran ketika hendak kencing di dalam hutan dan tidak boleh bermain tapuk dalam hutan. Selain itu, mereka tidak boleh bercakap tentang benda yang tidak wujud ketika di dalam hutan dan tidak boleh mengalihkan benda yang mempunyai tanda (X) sebab tanah tersebut dijaga. Sekiranya mereka terlihat orang, mereka tidak dibenarkan memanggil orang tersebut dengan nama, disebaliknya membuat bunyi “wooo…”

Tambah lagi, sekiranya mereka terdengar bunyi burung “sikukuok“, ia menandakan ada sesuatu yang melimpas atau cuba mengganggu mereka. Sekiranya bunyi tersebut semakin dekat, benda tersebut makin jauh. Namun, sekiranya bunyi itu semakin jauh, benda tersebut semakin dekat.
Menurut beliau lagi, ketika mereka masih Pagan, mereka tidak boleh bersiul di dalam rumah, tak kira siang atau malam dan tidak boleh main dengan rasang yang digunakan untuk berupacara. Mereka juga tidak boleh main gong tanpa sebab dan juga tidak boleh mengusik rasang.

2. Bidayuh (Serian – Bukar-Sadong)
Menurut sumber yang merupakan bangsa Bidayuh Bukar-Sadong, beliau berkata dahulu mereka percaya seekor burung adalah petanda ada kematian bakal berlaku. Burung ini dipanggil burung bobot (burung bubut) dan dipercayai ia akan berbunyi tidak jauh daripada rumah orang yang bakal meninggal dalam sehari atau dua sebelum meninggal dunia.

Apabila kematian berlaku, ahli keluarga akan menggunakan kain hitam di mana sehelai kain berwarna hitam akan digunting dan digolong untuk dijadikan gelang. Gelang ini akan diguna selama 7 hari sebagai tanda menghormati si mati, manakala ada juga akan menggunakan selama 40 hari sebagai tanda berkabung. Namun, yang wajib adalah 7 hari. Mereka juga akan berjaga selama 7 hari dan semua lampu di dalam rumah mesti dihidupkan sepanjang durasi ini serta kucing perliharaan dikurungkan untuk mengelak kucing tersebut melangkah mayat.

Menurut pengalaman peribadi beliau, ketika salah seorang ahli keluarga beliau meninggal dunia, anak kepada ahli keluarga bertindak sebagai wakil untuk memecahkan pinggan mangkuk sebagai tanda si mati akan dibawa keluar dari rumah. Ketika ahli keluarga sumber sudah nazak, datuk beliau membawa sebuah mangkuk berisi duit syiling dan meletakkan mangkuk tersebut dekat dengan kepala ahli keluarga beliau yang nazak sambil berkata sekiranya dia (ahli keluarga tersebut) berhutang sesiapa, minta dihalalkan.
Beliau berkata beliau tidak pasti dengan adat kampung (persekitaran) lain tetapi ketika pengebumian ahli keluarga beliau, mereka tidak meletakkan barang kepunyaan si mati ke dalam keranda. Disebaliknya, mereka membakar beberapa barang peribadi si mati selepas itu. Beliau bertambah lagi kepercayaan dahulu adalah apabila seekor haiwan eksotik masuk ke dalam rumah (contoh, ular), ia menanda ahli keluarga mereka yang telah meninggal dunia datang melawat.

3. Bidayuh (Lundu – Salako)
Menurut sumber yang berbangsa Bidayuh Salako, salah satu amalan yang diamalkan oleh mereka adalah amalan sam-sam, iaitu sebuah perintah berkurung di dalam kampung.
Ketika sam-sam dilaksanakan, penduduk tidak dibenarkan keluar dari rumah dan tidak dibenarkan untuk menonton televisyen dan radio dengan volume yang kuat. Sepanjang durasi ini, tiada perayaan disambutkan dan semua kerja luar diberhentikan. Penduduk diwajibkan untuk duduk di rumah (social distancing before PKP!)
Amalan ini akan diputuskan oleh Ketua Adat atau Ketua Kampung, dimana salah satu hari akan dipilih sebagai hari semua penduduk disuruh duduk di rumah. Ini dikira sebagai tempoh ‘kampung berehat’. Semasa durasi ini juga, orang luar tidak dibenarkan masuk ke dalam kampung.
Seperti sekarang dimana seluruh dunia diarahkan menjalankan perintah berkurung/kawalan pergerakan, mereka telah melakukan amalan ini sejak turun temurun. Bagi mereka yang melanggar perintah ini, mereka akan dihukum mengikut hukum adat kampung.

4. Bidayuh (Padawan – Biatah)
Selama 630 tahun, Kampung Sentah atau juga dikenali sebagai Bung Siburan, telah wujud dan merupakan ancestral village Bidayuh Biatah. Pada tahun 1830, kumpulan pertama berpindah ke bawah dari Kampung Sentah (yang berada di atas gunung Siburan – as high as 1,090 feet!) untuk menubuhkan Kampung Quop, kemudian diikuti oleh Tijirak, Kampung Seratau dan Kampung Primas sebagai perkampungan paling terbaharu.

Mengikuti mereka adalah adat-adat yang lebih kurang sama dengan adat dan pantang larang kaum Bidayuh di daerah-daerah lain. Antaranya lah adalah pantang larang menjadi tetamu di rumah panjang. Menurut sumber yang keturunan Bidayuh Biatah, terdapat tiga peringkat peraturan yang harus diikuti oleh para tetamu, iaitu sebelum memasuki rumah panjang dan semasa berada dalamnya.
Sebelum memasuki rumah panjang, para tetamu yang berniat untuk berkunjung harus memohon kebenaran daripada Ketua Rumah Panjang terlebih dahulu. Bagi mereka yang mempunyai kenalan di perkampungan terbabit, mereka boleh menemui kenalan mereka terus dan terpulang kepada kenalan tersebut untuk memperkenalkan mereka kepada Ketua Rumah Panjang.
Ketika berada di dalam rumah panjang, tetamu dilarang sama sekali untuk duduk berlunjur kaki kerana ia dianggap kurang sopan. Sebaliknya, tetamu harus duduk bersila sebagai tanda hormat kepada tuan rumah. Pada zaman dahulu, tetamu akan biasanya dihidangkan dengan tapak sirih yang mengandungi daun sirih, buah pinang dan kapur sirih serta rokok daun nipah dan tembakau. Tuan rumah akan mempelawa tetamu untuk bersama-sama menikmatinya sambil-sambil duduk lepak. Tetamu hanya akan dihidangkan air dan makanan ringan selepas beberapa waktu.

Sekiranya masa sudah melepasi waktu makan, tuan rumah akan mengajak untuk makan bersama-sama. Pada masa ini, tiada mana-mana tetamu baik wanita sekalipun yang boleh menjenguk bahagian dapur rumah. Tetamu juga tidak dibenarkan untuk membantu basuh pinggan dan mangkuk selepas makan kerana tindakan ini memalukan buat tuan rumah. Sekiranya tetamu teringin untuk bermalam, tetamu harus memberitahu tuan rumah tentang hasrat itu kerana kalau ikut adat, tiada tetamu dibenarkan untuk bermalam sembarangan tanpa izin daripadan Ketua Rumah Panjang.
Budaya Yang Berwarna-Warni Di Pulau Borneo
Kesemua etnik Bidayuh dari daerah-daerah berbeza masing-masing mempunyai keunikan tersendiri. Malah, bahasa mereka pun berbeza walaupun secara umumnya mereka adalah kaum yang sama. Seperti dimana etnik-etnik lain di Sarawak mempunyai ciri-ciri istimewa, kaum Bidayuh tidak dinafikan mempunyai ciri-ciri unik tersendiri yang membezakan mereka daripada kaum yang lain.
Sekiranya anda seorang Land Dayak, anda berasal dari kampung mana? Kongsikan lebih lanjut mengenai kampung anda di ruang komen dibawah dan jangan lupa share artikel ini!
