Rakyat Sarawak di luar negara diseru pulang ke tanah pertiwi guna peluang untuk menyumbang pembangunan Sarawak
Rakyat Sarawak Di Luar Negara Diseru Pulang Berkhidmat, Tunaikan Tanggungjawab. Rakyat Sarawak yang menetap di luar negara diseru untuk pulang dan menyumbang kepada negeri sendiri bagi menunaikan tanggungjawab terhadap tanah kelahiran.
Menurut laporan media tempatan, Timbalan Premier, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian menekankan bahawa beliau telah menunaikan tanggungjawabnya dan memainkan peranannya untuk menyumbang kepada Sarawak, 20 tahun yang lalu.

Mengulas lanjut, Dr Sim berkata beliau pulang dari Australia 22 tahun lalu dan memulakan perkhidmatan di Pusat Jantung Sarawak, yang disenaraikan sebagai 100 hospital kardiologi pakar teratas di rantau Asia Pasifik, tahun lalu.
Mengapa ia sesuatu yang tidak mustahil? Kerana orang seperti saya, Dr Alan Fong, dan Dr Teh Cheng Lay serta yang lain, kami semua tamat pengajian dari luar negara. Kami pulang untuk menyumbang. Kami pulang untuk membina,”
Dr Sim Kui Hian, Timbalan Premier
Menyeru rakyat Sarawak di luar negara kenal pasti peluang untuk menyumbang kembali
“Kami menyeru rakyat Sarawak yang tinggal di luar negara, sila kenal pasti peluang yang mana anda boleh menyumbang kerana saya telah memainkan peranan saya dan melakukan bahagian saya,” kata Dr Sim semasa ‘Malam Media Bersama Dr Sim’ di sini malam tadi.
Beliau menjelaskan bahawa bulan lepas, Kementerian Kesihatan telah memilih Sarawak sebagai tapak untuk ujian klinikal manusia yang pertama.
“Mereka memilih Sarawak kerana kami telah membuat penyelidikan 20 tahun lalu. Kami memulakannya secara perlahan-lahan dan kini orang mula sedar bahawa kami mempunyai fasiliti terbaik yang dimulakan oleh saya. Kami sama dengan mana-mana tempat lain,” katanya.
Dalam masa yang sama, Dr Sim turut memberitahu bahawa pihak media juga boleh memainkan peranan dalam membantu rakyat Sarawak memahami bahawa negeri ini bakal memasuki fasa pembangunan yang menarik.
Tular video pendapat individu mengenai isu ini
Walau bagaimanapun, seruan yang sama oleh Dr Sim sebelum ini telah mengundang komen netizen Sarawak yang telah bekerja di Semenanjung Malaysia selama 10 tahun.
Dalam sebuah hantaran tular yang dimuat naik oleh Eizzwan Kadim, atau nama pengguna TikToknya, Lelaki Sarawak, beliau menyuarakan pendapat dan memohon agar Dr Sim memberi respon kepada keluhannya dan masalah akar umbi yang dipercayai menjadi punca anak Sarawak merantau dan keberatan untuk pulang ke tanah air sendiri – masalah gaji minima yang tidak setimpal.
Menurut lelaki itu, salah satu sebab mereka memilih bekerja di Semenanjung adalah kerana perbezaan gaji minimum yang besar antara bekerja di Sarawak dan di Semenanjung. Walaupun mereka mahu bekerja dan berkhidmat untuk negeri sendiri, jurang gaji yang besar ini memaksa mereka merantau ke negeri orang.